Friday, April 16, 2010

Empat asas membentuk remaja berakhlak mulia

ZAMAN remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan antara alam
kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa yang lebih matang. Corak
peralihan pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang
mengalaminya.
Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai
khalifah Allah.

Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah
disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya
dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati.

Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan
negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin
pada masa akan datang.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan adalah
putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Riwayat Bukhari).

Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh
dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan
negara.

Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak
remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.

Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah
seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran
dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan
sebagainya.

Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa
faktor.

Antaranya persekitaran berubah secara mendadak terutama pengaruh media
cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi
terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak
mempengaruhi pemikiran anak-anak terutama yang baru meningkat remaja.

Selain itu, faktor kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu
bapa, perasaan mahu mencuba serta desakan atau pengaruh daripada rakan
sebaya.

Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu
gandingan yang mantap dan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, rakan
sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah
remaja.

1. Peranan Ibu bapa

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri
kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." - (Surah At-Tahrim
ayat 6).

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak
amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana
mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.

Antara panduan keibubapaan yang digariskan Islam ialah:

- Ibu bapa menjadi model yang salih dengan menghayati dan mengamalkan
ajaran Islam sebenar.

Ibu bapa salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama
kepada anak-anak.

Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang
baik sejak anak kecil.

- Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini
akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan
sesuatu perkara positif.

Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama
menerima ganjaran atau pujian.

- Memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan,
membaca al-Quran dan bersukan.

Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu
bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

- Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau
isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak.
Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa.

- Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak
walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan
berbeza antara satu sama lain.

2. Peranan Guru

Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan
mencontohi asas pendidikan dilakukan Rasulullah.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Salah satu cara terbaik untuk
membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan."

Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah:

- Menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku
guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi
ikutan.

- Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup
berkorban masa dan tenaga.

- Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan
sebagai 'role model' kepada pelajar.

- Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan
berakhlak yang sebenar-benarnya.

- Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan
Rabbani.



3. Peranan Rakan Sebaya

Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling
berpengaruh dalam kehidupan mereka.

Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling
diterima.

Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan
berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain.

Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi
remaja lain.

Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan
syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.

Oleh itu adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan
ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah
dan juga ibu bapa.



4. Peranan Anggota Masyarakat

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah
kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu
bercerai berai." - (Surah Ali Imran, ayat 103).

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hubungan orang mukmin dengan orang
mukmin lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu
sama lain." - (Riwayat at-Tabarani).

Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama anggota masyarakat amat penting
untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan
remaja yang sihat.

Antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah:

- Mewujudkan sebuah organisasi belia remaja yang dapat menentukan
peranan mereka dalam pelbagai bidang sebagai persediaan menentukan corak
pembangunan negara pada masa akan datang.

- Mengaktifkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk melatih
belia remaja aktif dalam berpersatuan.

Ia adalah jambatan yang menghubungkan mereka secara langsung dengan
masyarakat, sekali gus menghindarkan mereka dari melakukan kerja-kerja
yang tidak berfaedah.

- Wujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam
sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya
anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain
serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia
mengasihi anaknya sendiri.

- Memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau
perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain)
supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan
dengan berkesan.

- Menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat
untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan
pekerja mereka.

Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan,
kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain.

Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial
di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan
petunjuk daripada Allah.

Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting mempengaruhi pemulihan
dan kemurnian akhlak seseorang.

Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga
Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan
Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad)
tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih
(supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang
lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - (Surah
Al-Qasas, ayat 56).

- Penulis adalah pensyarah maktab perguruan

Sunday, April 11, 2010

MENARIK GOLONGAN REMAJA KE MASJID

MENARIK golongan remaja ke masjid bukanlah satu tugas mudah, melainkan mereka yang cukup berdedikasi. Kalau dulu, keseronokan berjemaah di masjid antaranya kerana dapat bertemu teman tetangga, tetapi hari ini dunia baru hanya di rentas dengan hujung jari.
Medan komunikasi yang lebih luas dan pantas tidak memerlukan pertemuan wajah ke wajah, tetapi cukup dengan sedikit kemahiran teknologi. Justeru, selain sebagai tempat untuk menunaikan ibadah solat berjemaah, masjid sudah kekurangan fungsinya sebagai pusat kegiatan sosial masyarakat setempat.
Yang memakmurkan masjid hanyalah golongan dewasa dan warga emas yang datang setiap kali waktu solat. Mereka menganjurkan aktiviti sempena hari kebesaran Islam dan mereka jugalah yang memeriahkannya. Sangat sedikit golongan remaja yang mengemudi program keagamaan, mungkin juga mereka tidak diberi kepercayaan kerana belum tiba waktunya untuk mereka diberi tanggungjawab.
Bagaimanapun, remaja hari ini ramai yang berketerampilan dan bijaksana. Mereka berani dan berkaliber, tahu mengurus masa dan mampu memimpin yang lebih dewasa. Sayang sekali sekiranya kelebihan ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, sedangkan mereka berlapang dada jika diberi amanah untuk agama.
Pengurusan masjid yang peka terhadap keperluan tarbiyah golongan muda perlu meletakkan keutamaan golongan sasaran ini dalam merangka setiap aktiviti yang diadakan di masjid. Selain mengadakan aktiviti untuk remaja, perlu diingat, adalah lebih baik sekiranya yang menganjurkan dan menguruskan aktiviti itu ialah kalangan mereka juga.
Tentulah pihak yang melaksanakan program arif mengenai keperluan tarbiyah golongan remaja dan tahu merangka bentuk pengisian yang mampu menarik minat mereka. Menjadikan masjid sebagai hab remaja moden amat perlu kerana ini antara cara memberi pendidikan agama secara langsung melalui kelas pengajian al-Quran, tajwid, sirah dan agama.
Selain itu, aktiviti yang berkala juga penting untuk mengistiqamahkan remaja dengan masjid dan tempat ibadat, sekurang-kurangnya mereka tahu bersolat dengan cara yang betul. Yang terbaru, rumah terbuka sempena Aidilfitri yang banyak diadakan komuniti di masjid berjaya membawa pelbagai golongan usia akrab dengan masjid.
Ini adalah satu tindakan yang wajar dipuji walaupun kebanyakannya hanya bertandang untuk menjamah makanan, tetapi sekurang-kurangnya mereka yang tidak pernah ke masjid tidak malu menjejakkan kaki ke pekarangan tempat beribadah. Tidaklah hanya berkunjung ke masjid sewaktu hari akad nikah saja.
Tindakan meminggirkan golongan remaja daripada organisasi pengurusan masjid juga satu kerugian kerana mereka mampu memberi idea dan pandangan yang bagus untuk kebaikan sesuatu qaryah yang boleh direalisasikan melalui masjid. Remaja mungkin lebih berminat menjadikan masjid sebagai hab sosial mereka sekiranya masjid menyediakan ruang pendidikan yang khusus untuk lelaki dan perempuan seperti perpustakaan, bilik perbincangan atau diskusi ilmiah, bilik operasi untuk aktiviti kemasyarakatan, kelas tambahan dan kemudahan ‘wi-fi’ yang melancarkan aktiviti seharian mereka sekiranya mentelaah di masjid di samping menunaikan solat lima waktu berjemaah.
Kemudahan lain berbentuk khidmat kaunseling yang disediakan di masjid secara sukarela atau berbayar turut menarik minat golongan remaja. Sebahagian besar remaja yang bermasalah cuba mencari penyelesaian atau keluar daripada belenggu kesusahan dengan cara ingin cuba berkongsi rasa dengan mereka yang dipercayai tetapi mereka sering kali pula tersilap membuat pilihan.
Aktiviti keagamaan yang diadakan sempena Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran, Ramadan dan sebagainya usahlah berkisar kepada penganjuran forum atau ceramah saja. Memang ia bermanfaat dan mampu menarik minat ahli masyarakat ke masjid, tetapi bukan golongan remaja. Sungguh pun begitu, ada juga penganjur yang mengadakan majlis forum dan ceramah yang diselangselikan dengan nasyid, dan ia sangat mengujakan golongan muda, apatah lagi jika idola mereka berada di depan mata.
Yang paling penting ialah bukan saja mengakrabkan remaja dengan masjid tetapi juga ahli-ahli masjid. Imam dan bilal perlu lebih mesra dan mudah didekati golongan ini, mereka boleh dijadikan tempat rujukan agama, berkongsi masalah dan pandangan mengenai pelbagai perkara.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Friday, April 2, 2010

PROGRAM JALINAN MESRA BERSAMA PDRM

1 April 2010 Pertubuhan Belia Sri Jara Dengan Kerjasama IPD Maran Serta Masyarakat Kg Baru Jara telah berjaya menjalankan "Program Jalinan Mesra" melibatkan masyarakat setempat dengan Anggota Polis Daerah Maran.
Program telah berjaya Melahirkan Semangat Kerjasama Di antara Masyarakat dengan Anggota Polis Dalam Menjaga Keamanan dan Kesejahteraan Kehidupan Seharian seterusnya mencapai matlamat jenayah sifar di Kg Baru Jara.
Program bermula dengan Gotong-royong pada sebelah pagi melibatkan masyarakat dengan anggota Polis, Jamuan Tengahari dan di sebelah Malam diteruskan dengan Bacaan Yasin, solat hajat serta Tahlil.
Jamuan Malam bersama penduduk kg. Majlis sungguh meriah dengan kerjasama erat antara penduduk kg dengan anggota PDRM. Terima kasih di atas sumbangan ikhlas penduduk dan IPD Maran dalam menjayakan program meriah ini.

SUKAN TINJU TOMOI

Tinju Tomoi sudah tidak asing lagi dalam arena sukan tanah air kita, susulan daripada itu pertubuhan belia Sri Jara telah bergiat aktif dalam acara sukan lasak ini. Salah seorang peserta merupakan Ahli belia Sri Jara telah mencipta nama sekaligus mengharumkan lagi nama pertubuhan Belia Sri Jara kerana telah merangkul gelaran Johan dalam pertandingan Tinju Tomoi yang dianjurkan di Balora Mastika Jengka, Pahang baru-baru ini. Peserta bernama Aidi bin Zainuddin memegang gelaran Harimau Kumbang telah berjaya menewaskan lawanya dari Maran sekaligus membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai. Tahniah daripada pengerusi belia.

PENUBUHAN RUKUN TETANGGA

Sejak mula KRT ditubuhkan di Kg Baru Jara kira-kira bulan Februari yang lalu, atas rasa tanggungjawab Pertubuhan Belia menyertai setiap aktiviti penjagaan keselamatan kampung juga turut melibatkan diri dalam setiap program kecerian kampung dalam mengekalkan keceriaan serta meningkatkan kerjasama di antara semua penduduk Kg Baru Jara. Ahli belia telah menubuhkan beberapa kumpulan Skim Ronda Sukarela ( SRS )dalam menjaga keselamatan Kg terutama waktu malam. Hasil kerjasama yang erat antara belia dengan penduduk kg telah dapat mengurangkan kes yang tidak diingini berlaku di Kg Baru Jara. Pengekalan keharmonian ini menjadi satu tradisi dalam mengekalkan budaya hidup kerjasama dan toleransi.