Thursday, December 30, 2010

Program Liga Bola Jaring Menghiburkan



Kg Baru Jara -29HB Dis- 2010. Sebanyak 6 pasukan bola jaring dalam Kg Baru Jara telah berkampung di Perkarangan Gelanggang Bola Jaring Kg Baru Jara  untuk bersama-sama menyertai Pertandingan Bola Jaring tertutup Anjuran Beliawanis Srijara dengan kerjasama Wanita Umno Kg Baru jara.
Pertandingan yang bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang ini telah dirasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah oleh En Hassan Khalil selaku  Pengerusi Jawatankuasa Kg Baru Jara.Program yang terdiri dari golongan ibu2 dan beliawanis telah menyerikan suasana serta menghiburkan. Program ini akan menjadi program tahunan di Kg Baru Jara dan akan menjadi inspirasi untuk memajukan sukan ini ke peringkat lebih membanggakan.

Program Asyura Membentuk Perpaduan

Tahniah kepada semua yang telah banyak memberi sumbangan samada berupa kewangan masa dan tenaga dalam menjayakan Program Asyura Tahunan Kg Baru Jara dengan kerjasama banyak pihak termasuk JKKK Kg Baru Jara, AJK Masjid, Pertubuhan Belia Sri Jara, Beliawanis Sri Jara, SRS Kg Baru Jara, Pemuda UMNO, Pemuda PAS, Persatuan Dikir Barat Sri Jara dan semua penduduk Kg Baru Jara. Selain program dapat mengeratkan silaturrahim antara seluruh penduduk kg, program juga dapat memupuk semangat kerjasama dan tolong- menolong seluruh penduduk Kg Baru Jara dan tetamu undangan. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.

Sunday, December 26, 2010

Liga Futsal Sri Jara 2010 Pengikat Silaturrahim




Tahniah kepada semua ahli Pertubuhan Belia Sri Jara kerana telah berjaya melaksanakan program dengan cemerlang dan mendapat sambutan banyak pihak terutama YB Dun Kuala Sentul dan sudi meluangkan masa bersama ahli belia dan penduduk Kg Baru Jara. Program Liga Futsal Sri Jara telah berjaya mencungkil bakat-bakat muda serta berjaya menggilap bakat terpendam seluruh penduduk kg Baru Jara. Kemeriahan suasana dapat mengeratkan silaturrahim antara golongan belia dengan masyarakat. Diharapkan keamanan dan ketenteraman Desa Wawasan ini berkekalan SEPANJANG ZAMAN.

Saturday, December 11, 2010

Maal Hijrah atau Awal Muharram


Maal Hijrah atau Awal Muharram adalah merupakan permulaan tahun baru bagi takwin Islam. Ianya bermula sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Madinah dalam tahun 622 masihi. Di samping itu ianya juga merujuk kepada peralihan daripada sesuatu yang buruk atau kurang kepada yang baik atau sempurna.

Perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a dari Kota Mekah ke Madinah merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'
(Ali ‘Imran:103)
Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.
Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:
'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'
Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Sempena menyambut Hari Keberkatan tanda bermulanya tahun baru dalam Islam' seluruh Umat Islam digalakan membaca doa dan memasang azam baru agar terus diberkati dalam hidup dan beroleh rezeki yang melimpah-luah dari sumber yang Halal'  

Salam Maal Hijrah''