Friday, March 5, 2010

PERLAWANAN PERSAHABATAN FUTSAL

3 Mac 9.30 malam Program Perlawanan Persahabatan Futsal telah dianjur di perkarangan Gelanggang Multisport Kg Baru Jara. Perlawanan Persahabatan di antara Belia Sri Jara menentang belia Kuala Sentul susulan daripada program sebelum ini. Program ini menyuntik semangat kerjasama yang baik di kalangan belia dan masyarakat. Selain aktiviti sihat, belia dapat menghindarkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seterusnya mendatangkan mudharat kepada penduduk sekitar. Ini merupakan tujuan utama program seperti ini diteruskan di Kg Baru Jara ini. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program meriah ini.  

LAWATAN SAMBIL BELAJAR

Pada 1 Mac 2010 jam 8.00 pagi satu lagi pembaharuan telah dijalankan oleh ahli Pertubuhan Belia Sri Jara melibatkan kerjasama daripada pegawai dari Pejabat Pertanian Daerah Maran dan pegawai Pejabat Pertanian Daerah Temerloh iaitu Program Lawatan Sambil Belajar di kawasan Projek Pertanian Jagung Manis di Sungai Gau, Temerloh Pahang dan Projek Pertanian Kerajaan Negeri Pahang iaitu di Lancang, Pahang. Program ini melibatkan kerjasama yang baik dari pegawai pertanian dan juga pihak pengusaha ladang berkenaan. Satu perasaan teruja wujud dalam diri kami setelah kami dibawa melawat sekitar kawasan pertanian Jagung Manis yang saujana mata memandang kira-kira seluas 5 ekar. Lebih membangkitkan lagi semangat kami setelah mendapat ulasan dari pengusaha ladang berkenaan iaitu hasil pendapatannya mencecah RM 20,000.00 dalam semusim dan setahun 3 musim. Beredar dari kawasan pertanian Jagung Madu , kami telah dibawa melawat di tapak Projek Pertanian Kerajaan Negeri Pahang iaitu Pertanian Nangka Madu, Lancang Pahang. Kami telah menimba ilmu yang sungguh bermakna dari segi pengisian program berkenaan. Peluang untuk mencipta pendapatan yang lumayan dalam teknologi pertanian lebih terbuka luas. Secara kesimpulannya, kami sungguh bertuah kerana terpilih dalam program lawatan pejabat pertanian daerah dan usaha sama ini menandakan satu pertalian yang erat untuk kami mencipta kejayaan demi kejayaan menyahut seruan kerajaan iaitu Pertanian Menjana Pendapatan Lumayan.

Thursday, March 4, 2010

LAWATAN MULTISPORT KG BARU JARA

Pada 3 Mac 2010 jam 12.30 petang satu lawatan mengejut daripada Pengarah bahagian kontraktor Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ibu pejabat Kuala Lumpur beserta pegawai belia Negeri Pahang dan Pegawai belia Daerah Maran bagi urusan memastikan kerja-kerja pembinaan Gelanggang Multisport di Kg Baru Jara ini berada dalam keadaan baik dan sempurna. Lawatan berkenaan juga bagi memastikan penyeliaan dan penjagaan Gelanggang Multisport di sini sentiasa teratur dan sistematik. Satu pujian yang amat membanggakan bagi seluruh ahli Pertubuhan belia Sri Jara iaitu di Gelanggang Multisport Kg Baru Jara ini merupakan Gelanggang yang terbaik dan teratur di Daerah Maran dari segi kebersihan, kekemasan, pemantauan, pengorganisasian tugasan serta penyediaan jadual setelah satu penyerahan rasmi oleh KSK kepada Pertubuhan Belia Sri Jara dalam proses penjagaan dan penyeliaan Multisport berkenaan. Pujian ini dinyatakan sendiri oleh Pegawai Belia Negeri Pahang dan Pegawai Belia Daerah Maran  kepada pengerusi Pertubuhan Belia Sri Jara setelah mengadakan lawatan mengejut di semua Multisport setiap daerah dalam negeri Pahang. Pujian ini membangkitkan semangat golongan belia dalam menjaga amanah agar sentiasa teratur dan sempurna. Terima kasih di atas kepercayaan semua pihak. Bagi warga kerja belia sentiasa mengharapkan kepercayaan serta sokongan dalam membangunkan belia ke arah Generasi Cemerlang.

PROGRAM CINTAKAN RASULLULLAH

Hari bersejarah buat seluruh penduduk Kg Baru Jara pada hari ini iaitu 3 Mac 2010 bertempat di perkarangan Masjid Kg Baru Jara bermula jam 9.00 pagi satu Perarakan Majlis sambutan hari Maulidurrasul telah diadakan melibatkan Semua Ahli Belia Sri Jara dan semua penduduk Kg. Program dimulakan dengan Selawat Ke Atas Nabi bermula dari Perkarangan Balai Raya hingga ke Masjid Kg Baru Jara dan tibanya di Masjid diteruskan dengan Solat Hajat serta Bacaan Yassin. Kemeriahaan suasana tidak dapat digambarkan oleh kerana ini merupakan kali pertama program seperti ini dianjurkan di Kg Baru Jara ini dan dijayakan oleh Pertubuhan Belia Sri Jara dengan kerjasama yang sungguh baik dari JKKK Kg Baru Jara melibatkan seluruh penduduk Kg. Kemeriahan diteruskan lagi dengan gotong-royong dalam mengekalkan muafakat seluruh penduduk bagi menyediakan hidangan tengahari dan semua penduduk dijamu dengan hidangan berasaskan menu selera Kg. Kerjasama yang diberikan oleh segenap lapisan masyarakat di Kg Baru Jara ini amat membanggakan dan inilah yang menjadi kekuatan dalam kejayaan setiap program yang dianjurkan di Kg  Baru Jara ini. Di sebelah malam Program diteruskan dengan  Kuliah agama yang bertajuk Cintakan Rasullullah Sepanjang Zaman disampaikan oleh penceramah hebat iaitu Tuan Khadi Daerah Maran. Pengisian begitu bermakna ini telah dapat memberi satu perubahan dalam membentuk ummah yang gemilang dalam mengekalkan persaudaraan seluruh penduduk Kg dan membawa ke arah cintakan Rasul Mulia Sepanjang Zaman serta mencontohi baginda dalam kehidupan harian dalam meningkatkan amalan sunnahnya serta mengerjakan perintah tuhan. Secara kesimpulannya program ini berjaya dengan gemilang dan telah mencipta satu sejarah buat Kg Tradisional ini dalam membina budaya generasi yang gemilang, terbilang dan mengekalkan keharmonian sepanjang masa. Terima kasih kepada seluruh warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Program gemilang ini. Syabas Belia Sri Jara.