Tuesday, June 22, 2010

Hobi Menjadi Sumber Pendapatan


Coretan santai kami kali ini ingin berkongsi kisah di kampung kami iaitu Kampung Baru Jara sebagai salah satu Desa Wawasan dalam Daerah Maran. Pengembaraan kami kali ini begitu tertarik dengan hasil seni halus yang begitu cantik dan sungguh unik. Jika diperhatikan secara mata kasar susunan anyaman ini tidak ubah seperti anyaman dari Rotan atau Urat Buluh, walaubagaimanapun ianya hanya gulungan surat khabar yang dianyam dengan ketekunan dan kesabaran. Jika dahulunya hobi untuk dijadikan sebagai hiasan di sudut rumah, kini telah beralih sebagai salah satu sumber pendapatan setelah menerima tempahan dari pelbagai jenis anyaman termasuk juga bakul telur, pasu bunga, bakul sampah, bakul hantaran, alas meja dan pelbagai lagi mengikut tempahan peminat. Harganya yang berpatutan serta hasil seni yang begitu menarik lebih memikat peminat untuk kembali semula membuat tempahan. Kunjungan Kelab Kembara ke rumah pemilik seni kreatif ini sungguh teruja dan terpegun melihat pelbagai jenis bakul dan pasu dari tempahan yang sungguh cantik. Jika sesiapa berminat untuk melihat sendiri hasil seni kreatif yang kami kongsikan ini sila berkunjung ke kampung kami;;; selamat berkunjung''

Thursday, June 17, 2010

Kelab Dikir Barat Sri Jara Di Hati Peminat

Sekalung ucapan tahniah tidak terhingga atas keterampilan Kelab Dikir Barat Sri Jara berwajah baru kini semakin mendapat perhatian dan sokongan yang begitu memberangsangkan. Kelab Dikir Barat Sri Jara di bawah naungan Pertubuhan Belia Sri Jara menampakkan taringnya apabila nama yang dahulunya langsung tidak dikenali tetapi kini telah mendapat tarikan yang sungguh luar biasa. Tawaran persembahan diterima dari setiap tempat, aktiviti dan acara selain gabungan daripada pelbagai Kelab Dikir Barat samada dalam daerah mahupun luar daerah. Terkini kelab kami juga telah mendapat perhatian Kelab Dikir Barat Jabatan Narkotik Daerah Maran dan usaha sama telah diwujudkan dalam membangunkan seni budaya warisan melayu yang semakin dipinggarkan disamping menjalankan aktiviti kemasyarakatan bagi membendung budaya negatif di kalangan masyarakat. Diharap usaha yang dijalankan ini mendapat perhatian semua pihak terutama pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dalam memperkembangkan seni budaya Warisan Melayu ke peringkat antarabangsa.

Tuesday, June 15, 2010

Malam Amal dan Kebudayaan Sri Jara

Malam Amal dan Kebudayaan Sri Jara telah berlangsung selama 3 hari itu  iaitu pada 21 Mei- 23 Mei 2010 bertempat di padang  awam Kg. Jara telah berjaya dengan bangganya apabila matlamat berhibur sambil beramal telah tercapai. Program telah membuka mata banyak pihak apabila Belia Sri Jara berjaya menyempurnakan kerja khidmat masyarakat dengan memberi sumbangan kepada kumpulan sasar terdiri daripada Golongan OKU, Ibu Tunggal, Keluarga Miskin serta Orang Tua disamping memperkenalkan seni budaya Wayang Kulit yang semakin dilupakan. Sumbangan yang bertujuan mewujudkan ikatan silaturahim yang kukuh dan mewujudkan perpaduan ummah antara semua penduduk dengan golongan belia telah berhasil. Ucapan jutaan terima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan dalam melancarkan program terutama Dato' Tan Aminuddin Exco Negeri Pahang, Dato' Hj Ismail Y.B Parlimen Maran, Dato' Shahaniza Y.B Dun Kuala Sentul, beberapa penyumbang peribadi dan semua ahli belia serta penduduk kampung yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Kesimpulannya, kejayaan program ini adalah hasil kerja seluruh masyarakat yang sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan Pertubuhan Belia Sri Jara. Pengerusi, mengucapkan syabas dan tahniah.