Sunday, April 11, 2010

MENARIK GOLONGAN REMAJA KE MASJID

MENARIK golongan remaja ke masjid bukanlah satu tugas mudah, melainkan mereka yang cukup berdedikasi. Kalau dulu, keseronokan berjemaah di masjid antaranya kerana dapat bertemu teman tetangga, tetapi hari ini dunia baru hanya di rentas dengan hujung jari.
Medan komunikasi yang lebih luas dan pantas tidak memerlukan pertemuan wajah ke wajah, tetapi cukup dengan sedikit kemahiran teknologi. Justeru, selain sebagai tempat untuk menunaikan ibadah solat berjemaah, masjid sudah kekurangan fungsinya sebagai pusat kegiatan sosial masyarakat setempat.
Yang memakmurkan masjid hanyalah golongan dewasa dan warga emas yang datang setiap kali waktu solat. Mereka menganjurkan aktiviti sempena hari kebesaran Islam dan mereka jugalah yang memeriahkannya. Sangat sedikit golongan remaja yang mengemudi program keagamaan, mungkin juga mereka tidak diberi kepercayaan kerana belum tiba waktunya untuk mereka diberi tanggungjawab.
Bagaimanapun, remaja hari ini ramai yang berketerampilan dan bijaksana. Mereka berani dan berkaliber, tahu mengurus masa dan mampu memimpin yang lebih dewasa. Sayang sekali sekiranya kelebihan ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, sedangkan mereka berlapang dada jika diberi amanah untuk agama.
Pengurusan masjid yang peka terhadap keperluan tarbiyah golongan muda perlu meletakkan keutamaan golongan sasaran ini dalam merangka setiap aktiviti yang diadakan di masjid. Selain mengadakan aktiviti untuk remaja, perlu diingat, adalah lebih baik sekiranya yang menganjurkan dan menguruskan aktiviti itu ialah kalangan mereka juga.
Tentulah pihak yang melaksanakan program arif mengenai keperluan tarbiyah golongan remaja dan tahu merangka bentuk pengisian yang mampu menarik minat mereka. Menjadikan masjid sebagai hab remaja moden amat perlu kerana ini antara cara memberi pendidikan agama secara langsung melalui kelas pengajian al-Quran, tajwid, sirah dan agama.
Selain itu, aktiviti yang berkala juga penting untuk mengistiqamahkan remaja dengan masjid dan tempat ibadat, sekurang-kurangnya mereka tahu bersolat dengan cara yang betul. Yang terbaru, rumah terbuka sempena Aidilfitri yang banyak diadakan komuniti di masjid berjaya membawa pelbagai golongan usia akrab dengan masjid.
Ini adalah satu tindakan yang wajar dipuji walaupun kebanyakannya hanya bertandang untuk menjamah makanan, tetapi sekurang-kurangnya mereka yang tidak pernah ke masjid tidak malu menjejakkan kaki ke pekarangan tempat beribadah. Tidaklah hanya berkunjung ke masjid sewaktu hari akad nikah saja.
Tindakan meminggirkan golongan remaja daripada organisasi pengurusan masjid juga satu kerugian kerana mereka mampu memberi idea dan pandangan yang bagus untuk kebaikan sesuatu qaryah yang boleh direalisasikan melalui masjid. Remaja mungkin lebih berminat menjadikan masjid sebagai hab sosial mereka sekiranya masjid menyediakan ruang pendidikan yang khusus untuk lelaki dan perempuan seperti perpustakaan, bilik perbincangan atau diskusi ilmiah, bilik operasi untuk aktiviti kemasyarakatan, kelas tambahan dan kemudahan ‘wi-fi’ yang melancarkan aktiviti seharian mereka sekiranya mentelaah di masjid di samping menunaikan solat lima waktu berjemaah.
Kemudahan lain berbentuk khidmat kaunseling yang disediakan di masjid secara sukarela atau berbayar turut menarik minat golongan remaja. Sebahagian besar remaja yang bermasalah cuba mencari penyelesaian atau keluar daripada belenggu kesusahan dengan cara ingin cuba berkongsi rasa dengan mereka yang dipercayai tetapi mereka sering kali pula tersilap membuat pilihan.
Aktiviti keagamaan yang diadakan sempena Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran, Ramadan dan sebagainya usahlah berkisar kepada penganjuran forum atau ceramah saja. Memang ia bermanfaat dan mampu menarik minat ahli masyarakat ke masjid, tetapi bukan golongan remaja. Sungguh pun begitu, ada juga penganjur yang mengadakan majlis forum dan ceramah yang diselangselikan dengan nasyid, dan ia sangat mengujakan golongan muda, apatah lagi jika idola mereka berada di depan mata.
Yang paling penting ialah bukan saja mengakrabkan remaja dengan masjid tetapi juga ahli-ahli masjid. Imam dan bilal perlu lebih mesra dan mudah didekati golongan ini, mereka boleh dijadikan tempat rujukan agama, berkongsi masalah dan pandangan mengenai pelbagai perkara.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment